Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Sebagai permulaan, saya dengan sukacitanya ingin menyambung semula paparan percutian berjemaah kami di Krabi, Thailand. Di posting yang sebelumnya itu, baru sahaja 'bagi perangat' bak kata umum di sebelah utara. Jadiii... setelah menukar persalinan (tukar seluar dengan topi je puun~), semua berkumpul menyemakkan lobby untuk ke acara yang seterusnya iaitu:
- Menunggang gajah.
- Mandi di Emerald pool (terdapat nama versi lain dipanggil Crystal Pond tapi sama je...).
- Melawat Hot Spring Waterfall ( juga ada nama lain digelar Hot Stream Waterfall).
|
Gambar beramai-ramai adalah wajib (kelihatan penulis merancang sesuatu yang licik bersama Zul di belakang pengetahuan isteri masing-masing... BUKAN SKANDAL SESAMA JENIS YA!! Haraaam... |
|
Penulis sangat suka menayangkan lobang hidungnya yang bessaaarr itu (kelihatan Ieda berada di tempat yang salah untuk menahan tuk-tuk ke pantai). |
Perjalanan kali ini kami dibekalkan dengan hanya sebuah van (juga Toyota Commuter - agak femes van spesis ni di Thailand. Di Malaysia takde pun van Toyota jenis ni), seorang pemandu, dan makanan tengahari nanti yang dibungkus dalam bekas polisterin yang besaaar. Saya diberi mandat untuk duduk di hadapan sebelah pemandu sebagai kelindan tidak rasmi.
Dan di sinilah saya membuat pemerhatian yang budaya pemanduan warga Thailand ini teramatlah sopannya. Pemandu-pemandu di sana tidak
kiasu langsung! Pemandu kenderaan 4 roda (atau lebih) menghormati penunggang motosikal. Penunggang motosikal pula tidak menunggang dengan melulu jadi tidak hairanlah mereka tidak memakai topi keledar sama sekali (ada segelintir yang memakainya jugak). Kesemua mereka yang membawa kenderaan bermotor sangat menghormati pejalan kaki yang hendak melintas jalan (tak perlu pun 'the power of hand' yang dihebohkan oleh Harith Iskander tu. Jika anda berwajah poyo ketika melintas maka anda memang patut digilis). Ketika kenderaan memotong di garisan berkembar (double line), kenderaan dari arah bertentangan akan secara otomatik memberikan ruang tanpa perlu pun menyalakan lampu 'hi-beam' tanda tidak berpuas hati atau marah. Saya sangat taksub dengan pemerhatian ini sampaikan berkali-kali mengulangi akan subjek ini ketika berbual membuatkan rakan-rakan saya mual dan setiap kali saya membangkitkan isu ini, mereka dengan pantas memintas, "Ye, ye, ye Mcdee... We know~" dan saya sedar bahawa saya telah 'overacting'. Ah, well...
Ulasan gambar
- Atas kiri: Masing-masing khusyuk tengok atas macam nampak orang utan padahal drebar gajah tu tunjuk ada labah-labah, "Look! Look! Spider!" jerit beliau (hangguk kau spider! Kecik je pun~ Kat Malaysia tu belambak spider. Apa ingat kami jakun tak penah nampak spider ka?!)
- Atas kanan: Pree Prai (nama gajah yang kami tunggang) cuba untuk menyembur hingus beliau kepada penunggangnya membuatkan semua orang panik.
- Bawah kiri: Pree Prai main sondol-sondol bontot gajah di hadapan yang Hadi dan Sheila naiki membuatkan penulis terfikir alangkah mujurnya hidung gajah itu panjang.
- Bawah kanan: Penulis mula berhalusinasi membayangkan dirinya seorang Tarzan Malaya yang rindukan sambal belacan.
AKTIVITI TUNGGANG GAJAH
Kami sampai, letak barang, capai kamera, tunggu giliran dan dapatlah naik gajah... Saya dan isteri beserta adik Yaya, Mustakim naik gajah betina yang terakhir bernama Pree Prai. Guide kami masih muda remaja, sangat becok yang mana amat rajin mengajuk pertuturan kami (okeylah tuuu... peramah kaaan). Ada satu ketika itu guide kami berhenti menunjukkan sepohon pokok sirih lalu saya petik sehelai daunnya lalu mula mengunyah. Jikalau ada kapur dan pinang tentu sudah seakan Pendekar Tandoori Payat karya Nik Wafdi itu namun dengan sekonyong-konyong, saya kembali ke alam nyata dengan lidah dan bibir berasa kebas (nasib baik masih mampu bertutur). Isteri saya hanya memberikan komen sebanyak 2 patah perkataan, "Padan muka!". Maka dibawanya kami berpusing meronda keindahan flora melalui denai-denai yang tersedia ada dan sesekali terdengar jeritan manja mahupun gelak ketawa riang rakan-rakan serombongan dari jauh. Saya dan Mustakim berpeluang menjadi jurupandu Pree Prai sendiri (dengan duduk di leher makhluk bijak ini). Kami akhirnya di bawa ke sebuah kolam berdekatan untuk direndam tetapi Alhamdulillah Pree Prai tidak pergi ke bahagian dalam kolam, kalau tidak kami juga direndam sekali. Sesi merendam merupakan penamat aktiviti ini dan setelah selesainya turun dari tunggangan, bermulalah sesi bergambar dengan gajah-gajah yang dieksploitasi untuk keuntungan ini buat kali terakhir. Saya beri sedikit wang tips kepada pemandu saya dan ada satu ketika bergambar itu gajah-gajah ini mengalirkan air mata. Mungkin sedih melihat pemergian kami ataupun mungkin juga menggambarkan perasaan mereka yang kadangkala diherdik atau dipukul oleh pemandu mereka sepanjang hari tatkala melayani pelancong-pelancong seperti kami. Ada gembira berbaur simpati dengan aktiviti pertama ini. Van pun terus meluncur membawa kami ke destinasi seterusnya...
AKTIVITI RENDAM BADAN
|
Pintu gerbang untuk menapak menuju ke 'Kolam Zamrud' yang mana penulis yang paling hadapan sekali semasa berjalan ke destinasi kerana banyak 'pemandangan' menarik. |
|
Dah sampaaaii~ mengahlah jugak. |
Punyalah jauh lokasi aktiviti yang kedua ini. Sudahlah saya menjadi kelindan tak rasmi kepada pemandu van namun tetap tidak melepaskan peluang untuk merehatkan mata memandangkan perjalanannya yang memakan masa. Masa sampainya kami di sini, perut sudah mula berkeroncong maka bertanyalah kami pada pemandu, Mr. Korim, bilanya kami nak lunch? Beliau menjawab, "After you come back!" Terpaksalah kami menapak terus ke dalam hutan menuju ke 'Kolam Zamrud' yang semasa di pintu gerbang lagi sudah kami nampak anak sungai yang sangat jernih airnya.
|
Nory berkata kepada Yaya sambil menunjuk ke perut penulis, "Tengok tu Yaya, perut Mcdee belum terjun kolam dah kembung siap-siap untuk proses pengapungan secara optimum~" Yaya menjawab, "Biarlah dia, itulah kelebihan orang buncet~" Kelihatan isteri penulis pasrah. |
Ternyata air kolam ini memang hijau. Ada papan tanda larangan merokok di situ namun tiada penguatkuasa berada di situ untuk menguatkuasakan amaran tersebut, maka berleluasalah amalan merokok itu di persekitaran kolam oleh pelawat-pelawat tempatan.
|
Takat denda RM200 je. Jangankan orang Thailand, orang Malaysia pun kayaaa~ asap itu lagi penting dari wang ringgiiit~ |
Kawasan keliling kolam adalah tersangat licin jadi berwaspada dengan setiap langkah anda jika ada di kalangan pembaca nanti ingin menjadikan Emerald Pool ini sebahagian lokasi lawatan jika ke Krabi nanti. Sekarang mari kita lihat gelagat manusia-manusia jakun yang tidak pernah nampak kolam dari sungai yang airnya sangat jernih kehijau-hijauan ini:
|
Penulis cuba menyamar jadi buaya di air yang tenang. |
|
Isteri kepada penulis terlebih simpan oksigen di mulutnya sehingga penulis terpaksa menahan badan isteri beliau dari terapung dengan pantas namun misi membuat bentuk 'love' itu tetap berjaya. |
|
|
|
|
|
Tengok tu, bukan main gembira isteri penulis bermain air. |
|
Mereka yang teruja membuat pose a la cover album kumpulan rock kapak 80-an |
Habis mandi, bertambah laparlah perut kami. Dengan lajunya berjalan keluar ke pintu gerbang menuju ke van minta perut diisi. Pemandu kemudian mengagihkan bekas makanan polisterin kepada semua orang dan semua berkumpul di tepi tempat letak kereta melahap hidangan tengahari yang tidak seberapa disediakan oleh pihak hotel. Lepas makan, saya beli aiskrim 2 kali bagi hilang pedas dan pemandu van mengarahkan kami bergerak ke destinasi terakhir...
|
Bukan main beso bekas tapau. Bukan main 'banyak' isinya. Bukan main pedas masakannya. Namun penulis bersyukur kerana walaupun pedaih, tapi sedaaaap~ |
AKTIVITI RENDAM KAKI
Van menyelusuri jalan raya berturap dan saya melilau kepada pemandangan kampung di sepanjang jalan seakan ia tidak asing pada saya. Tidak banyak beza dengan pemandangan di kawasan-kawasan kampung di negara kita. Piring seakan piring Astro ada di setiap rumah yang saya nampak cuma warna piring mereka adalah jingga. Tidak jauh dari Emerald Pool tadi, maka sampailah kami di Hot Stream atau Anak Sungai Air Panas.
|
Berposing gaya bebas. Penulis bebas melakukan aksi terlampau kepada papan tanda. |
|
Andi dikepung oleh pengganas berseragam kuning... |
Kalau dah namanya air panas, adalah hilang akal jika anda mahu berendam lagi setelah puas menyelam di kolam yang airnya sejuk tadi, jadi saya hanya merendam kaki sahaja dan melihat kanak-kanak tempatan riang ria melompat dan terjun ke dalam sungai berhampiran. Oh ya, air panas ini sebenarnya mengalir ke sungai dan kepanasan air itu tamat sampai di situ sahaja. Tidak mengambil masa dengan lama, semua bersiap untuk pulang ke hotel tetapi sebelum itu, saya tidak melepaskan peluang untuk membeli kudapan supaya ada bahan mengunyah dalam perjalanan balik nanti. Saya membeli sebotol susu Vitamilk dan 'sweetcorn' yang terlebih 'sweet' kerana peniaga tempatan di sini menambah lagi sesudu gula pasir setelah diletakkan susu krim pekat manis. Maka berganda-gandalah manisnya kudapan saya tadi. Mujur Vitamilk saya itu tawar sedikit. Tiba di hotel, sebulat suara semua ingin ke pekan Krabi menikmati makan malam dan pasar malam lalu sesudah berehat seketika dan menukar persalinan yang lebih segak dan santai, kesemua jemaah rombongan berkumpul di lobi hotel.
AKTIVITI MALAM HARI
|
Semua dah siap nak berjalan dan seperti biasa penulis kena jadi kelindan lagi. |
Setelah semua jemaah rombongan semua turun, Yaya mengumumkan yang adik beliau Mustakim terus koma tak bangun-bangun akibat kepenatan yang tidak terhingga, maka aktiviti yang ini tidak disertai beliau. Di tepi jalan raya, pemandu Tuk-tuk bernama Kholit terperasan sekumpulan pelancong tercangak-cangak mencari pengangkutan ke suatu destinasi lalu tanpa membuang masa mengambil peluang ini menawarkan perkhidmatan Tuk-tuk kendalian beliau. Kholit, mendakwa dirinya seorang Muslim setuju untuk membawa kami ke pekan Krabi untuk melawat pasar malam harian di situ setelah menjelaskan pasar malam di Ao Nang hanya setiap malam Khamis.
Ketika penumpang-penumpang di belakang riuh-rendah di belakang, saya sekali-sekala berbual kosong dengan pemandu Tuk-tuk dan akhirnya menyuruh beliau meninggikan 'volume' radio yang memainkan lagu-lagu pop Siam yang terkini. Tiba-tiba Tuk-tuk berhenti tatkala saya berangan melayan lagu pop Siam yang berkumandang...
|
Tengok tu... Penulis romantiiik sangaaaat~ |
|
Penulis juga sangat lapar berbanding dengan sang suami yang lain yang mana mereka sangat mementingkan 'kemachoan' |
|
Bergambar di tengah lebuhraya di Thailand sangat selamat. Ini buktinya. |
|
|
|
Sekonyong-konyong muncul tugu iklan tidak berbayar di ladang kelapa sawit. |
Selesai bergambar, perjalanan diteruskan ke pekan Krabi tetapi tiba-tiba Nory menyedari yang beliau tertinggal beg tangan di lokasi bergambar tadi lalu Kholit si pemandu Tuk-tuk melakukan 'u-turn' secara 'drifting' (tak drift pun~ saje je nak bagi gempak cerita) bagi mendapatkan kembali beg Nory yang tertinggal itu. Sukacitanya beg Nory yang berisi wang baht dan ringgit serta paspot itu masih ada di situ... Alhamdulillah... dan perjalanan ke pekan Krabi disambung semula dengan santainya sambil lagu-pop Siam berkumandang diiringan siulanku...
|
Hujan yang membasahi pekan Krabi tatkala Malaysia pada masa itu sedang kemarau sudah seminggu lamanya. |
Kholit bersetuju untuk menunggu kami meronda-ronda sekitar pekan tanpa mengenakan sebarang bayaran pun. Beliau sangat pemurah walaupun bukannya orang senang. Sebelum meronda haruslah mengisi perut dahulu, dan saya ternampak satu warung kecil di hadapan sebuah farmasi bersebelahan dengan tempat Tuk-tuk si Kholit parkir yang mana peniaganya sepasang suami dan si isteri yang bertudung lalu mencadangkan kami bersantap di situ dan kholit juga mengesahkan yang warung nasi ayam itu menyediakan makanan halal. Sila tengok sendiri betapa lahapnya saya melantak.
|
Penulis seorang saja melantak sampai 3 pinggan tau! |
|
'Condiments' untuk dimakan bersama bubur nasi tapi penulis seorang saja yang campur dengan nasi ayam. |
|
Nasi ayam yang 'simple' namun sangat lazat dan menyelerakan. |
|
Walaupun hanya terdapat ais kosong, ia merupakan ais kosong yang sangat menyegarkan. |
Sesudah kekenyangan, kami mula melangkah ke lokasi pasar malam yang tidak jauh dari situ. Saya dalam diam-diam pergi ke 7-11 berhampiran membeli sebotol oren, setengah dozen kotak minuman milo, roti, beserta tuna sambal dalam tin kecil dan satu simkad prabayar 'd-tac happy'. Ieda membelanja kami semua 'chocolate banana pancake' (yang sebenarnya roti canai pisang dituang dengan susu krim pekat dan sos coklat). Memang sedap namun tersangatlah manis.
|
Pengunjung dialunkan dengan irama tradisional oleh sekumpulan cilik-cilik ini. "Adik! Lagu pop Siam satuuu!!" |
|
Abang ni kena buli buat 13 (kot) keping 'Chocolate Banana Pancake' |
Lepas beli makanan, minuman, kemeja -T, cenderamata, singgah 7-11 sekali lagi, kami pergi mencari Kholit dan pulang ke Ao Nang di mana Yaya dan Ieda menguruskan 'booking' untuk aktiviti seterusnya untuk keesokan hari. Untuk menjadikan penamat kepada hari bersejarah bagi saya yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Thailand, punggung saya disondol oleh seekor ikan kaloi yang besar di tepi kolam yang saya bertenggek sementara menunggu 'booking' diuruskan. Nampaknya hanya hidupan dalam air yang pandai menilai keunikan 'aset' saya ini. Ini membuatkan saya risau untuk turun ke laut esok...
Terbang membelah awan nan biru,
Tanah asing menyambut bagasi dipikul,
Lenguh langkah duduk terburu,
Menyesal tak sudah punggung disondol...
Hingga terbit bahagian ke 3... Sekian dahulu pembaca budiman...
Comments
Post a Comment